Jerami padi dibuat baja,
Padi disemai waktu senja;
Bumi kita sudah tua,
Sampai masa musnahlah ia.
Waktu malam pusing kota,
Singgah makan mee Bandung;
Jangan dicemari sungai kita,
Di situlah tempat ikan berlindung.
Pagi-pagi muncul mentari,
Cahaya masih berbalam-balam;
Sungai kita jika dicemari,
Hilang seni warisan alam.
Buah epal buah delima,
Dibeli oleh anak nyonya;
Sungai kita milik bersama,
Janganlah kita cemarkannya.
Hujung minggu diadakan pesta,
Bunyi gitar lagu klasik;
Apakah jenis manusia kita,
Di dalam sungai dibuang toksik?
Keliling dusun dibina pagar,
Duku dan langsat berbuah lebat;
Biarlah udara bersih segar,
Makhluk hidup semuanya sihat.
Memancing ikan cahaya samar,
Dapat puyu, sepat dan belida;
Jangan biarkan udara tercemar,
Terhirup ia mautlah kita.
Sepuluh ekor ikan puyu,
Mati seekor tinggal sembilan;
Jangan pupus spesis penyu,
Kelak pantai kesepian.
Dalam semak ada beruang,
Dipanah pemburu terkena kakinya;
Tamak haloba mencari wang,
Khazanah hutan jadi mangsa.
*p/s: alam sekitar bukanlah di bawah tanggungjawab pelajar sains sekitaran sahaja..sekian*
0 comments:
Post a Comment